Bismillahirahmanirrahim...
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Alhamdulillah, tanggal 20 Jun 2010 lalu telah melakar sejarah dalam dunia dakwah di Malaysia. Pemasyuran Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), telah selamat dijalankan dengan gilang-gemilang dan dihadiri oleh ribuan manusia dari serata Malaysia. Syukur ke hadrat Ilahi kerana saya telah diberi kesempatan untuk menyaksikan hari yang bersejarah ini.
Kami bertolak seawal jam 8 pagi bagi mengelakkan kesesakan. Namun, apabila sampai di Malaysia International Exhibition and Convention Centre (MIECC) Seri Kembangan, sudah kelihatan lautan manusia sudah tiba di sana sejak awal pagi lagi.
Majlis bermula dengan ketibaan pimpinan tertinggi IKRAM serta dif-dif kehormat dari dalam dan luar negara. Dr. Mohd Parid Bin Sheikh Ahmad, Presiden IKRAM telah mengetuai pimpinan yang lain untuk masuk ke dalam dewan.
Seperti biasa, majlis bermula dengan alunan ayat-ayat suci al -Quran. Saya tidak bercadang mahu mengulas panjang tentang perjalanan program tersebut. Apa yang mahu saya kongsikan di sini ialah beberapa perkara yang menyentuh hati serta meningkatkan himmah saya.
1. Ketika sesi Tazkirah Tarbawi Perdana: Bekalan di Perjalanan yang disampaikan oleh Ustaz Alias Othman, beliau telah meminta para pemuda untuk berdiri. Ketika itu, saya merasakan bebanan dan tanggungjawab yang sungguh besar ke atas bahu-bahu kami sebagai pemuda dan pemudi untuk meneruskan kelangsungan dakwah di masa hadapan. Jika kami tidak mempunyai kesungguhan dan semangat juang yang tinggi untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab ini, sudah tentu matlamat dakwah tersebut tidak akan tercapai.
2. Pengerusi Aqsa Sharif, Ustaz Hasanuddin Bin Mohd Yunus telah diberi peluang untuk berucap sementara menunggu sesi seterusnya. Beliau telah berucap dengan penuh lantang dan bersemangat tentang kepentingan NGO yang bukan sekadar pertubuhan biasa, tetapi sebagai agen perubahan dan pemantapan kepada negara dan juga dunia. Peristiwa LL4G, yang diketuai oleh Insani Yakdim Vakfi (IHH), sebuah NGO dari Turki serta beberapa NGO dari pelbagai negara di dunia termasuk Aqsa Sharif dari Malaysia telah membuka mata dunia betapa NGO mampu untuk mengubah lanskap dan iklim politik dunia.
3. Lagu IKRAM telah dinyanyikan oleh kumpulan Saff One dan para hadirin turut diminta berdiri untuk bersama-sama menyanyikan lagu tersebut. Lirik lagu ini telah dihasilkan oleh Prof Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Timbalan Presiden IKRAM serta kumpulan Saff One.
Bait-bait liriknya sangat puitis dan mempunyai makna yang sangat mendalam. Jika dihayati dengan baik, ianya dapat meningkatkan semangat juang di dalam diri.
4. Moto IKRAM ialah " Ukhuwah Teras Kegemilangan". Sepertimana yang kita sedia maklum, inilah yang diterapkan oleh Rasulullah S.A.W kepada para sahabat sejak awal kedatangan Islam. Bermula dengan ukhuwah yang mantap inilah tertubuhnya negara Islam pertama di dunia, Madinah al-Munawwarah seterusnya tersebarnya dakwah ke seluruh dunia hingga sampai kepada kita pada hari ini.
5. Apabila sampai di rumah keesokan harinya, perkara pertama yang disoal oleh kakak saya yang baru tiba di Malaysia pada 20 hb ialah, "Tau tak pasal Pertubuhan IKRAM?". Saya agak terkesima seketika. Bagaimanakah dia boleh mengetahui tentang perkara itu sedangkan dia baru sahaja tiba di Malaysia semalam. Rupa-rupanya, Subhanallah, ikhwah dan akhawat kita di seluruh dunia meraikan hari pemasyuran IKRAM. Walaupun terpisah jauh beribu batu, mereka tetap bersama kita. Ya Allah, manisnya ukhuwah ini. Bersaksilah bahawa hati-hati kami telah bersatu di bawah panji-panji-MU.
Mungkin banyak lagi perkara yang agak significant yang berlaku pada hari tersebut. Namun apa yang lebih penting ialah perancangan kita selepas ini. Pintu bullet train sudah terbuka luas, jadi tunggu apa lagi? Mari kita sama-sama masuk ke dalamnya dan terus bergerak kencang dan laju untuk ke destinasi utama.
Kami
Pendapat diatas adalah sekadar pandangan peribadi saya sahaja. Mungkin betul, harus salah. Cuma saya rasa ingin berkongsi sesuatu yang saya peroleh pada hari yang takkan mungkin dilupakan itu.
Sekian, syukran.
Wassalam...
slm...syu dtg dgn fmily??
ReplyDeletewslam...
ReplyDeletedtg ngan makcik..
die duk kt klang.. :)