Pages

Saturday, February 26, 2011

Sistem


Suatu petang. Duduk bertemu lutut. Tadabbur manual hidup - Al- Baqarah.

“Ok, ada sesiapa perasan sesuatu yang istimewa tentang ayat yang kita baca tadi?”

“Emm, ayat 282 tu panjang betul. Satu muka surat”.

“Ya, ayat 282 ni merupakan ayat yang terpanjang dalam Al-Quran menurut sesetengah ulama’ tafsir. Tapi ada sesiapa yang terfikir kenapa ayat tu panjang sampai macam tu sekali?”

Diam.

“Ok, siapa tahu ayat yang menyebabkan wajibnya solat?”

...وأقيموا الصلاة..

“Fi’il amar menunjukkan kepada wajibnya mendirikan solat.”

“Eh, perkara yang sebegitu penting, itu je ke dalilnya di dalam Al-Quran?”

“Ya. Ayat yang kita bacakan tadi, berbeza daripada ayat yang menunjukkan wajibnya solat. Sangat panjang. Allah telah menyentuh perihal hutang. Atau kita boleh kaitkan dengan muamalat atau harta. Jadi adakah soal muamalat itu lebih penting dari solat?”

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Tiada manusia yang bergaduh isu mendirikan solat. Walaupun berlainan mazhab. Tiada manusia yang menyimpan hasad dengki dalam bab solat. Tiada manusia yang memutuskan hubungan persaudaraan dan sebabnya adalah solat.

Tapi, bila menyebut soal hutang, muamalat dan harta, sifinya jadi berbeza. Lebih rumit dari biasa. Manusia boleh bergaduh disebabkan hutang. Manusia boleh berbunuhan disebabkan harta. Manusia boleh putus saudara kerana harta. Walaupun adik-beradik. Walaupun makan sekali, tidur sebantal, main sama-sama dari kecil sampai besar.

Itulah keagungan dan kebesaran Allah. Maha Mengetahui segala yang diciptakan. Maha Memahami fitrah manusia. Sebab itulah Allah menerangkan persoalan hutang, pembahagian harta pusaka, wasiat dan beberapa jenis muamalat lain di dalam kitab suci itu secara mendalam dan sangat terperinci . Allah telah meletakkan satu sistem yang boleh diterima oleh semua manusia yang hidup di muka bumi ini. Kerana ianya tidak pernah bertentangan dengan fitrah dan kemampuan seorang manusia.

Berbicara mengenai sistem dan peraturan hidup manusia, mungkin kita boleh menggunakan sifir ini:

Jika seseorang jatuh sakit, secara semulajadinya dia akan ke klinik untuk mendapatkan ubat. Jika dia ke balai bomba, mungkin orang ramai akan menghantarnya ke Tanjung Rambutan.

Cuba aplikasikan sifir itu ke dalam semua sistem kehidupan. Sifinya mudah bukan? Pelbagai persoalan hidup itu hanya boleh diselesaikan jika kita kembali kepada Yang Maha Menciptakan. Kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai manual kehidupan, serta orang-orang yang ahli (ulama’) sebagai pewaris para nabi. Sistem-sistem sekular yang ada pada hari ini, mungkin menyelesaikan masalah. Tetapi penyelesaian itu mungkin tidak kekal. Tidak secara menyeluruh. Dan lebih buruk lagi, mungkin bertentangan dengan fitrah dan kemampuan seorang insan.

Jadi, masihkah ada keraguan mengenai sistem yang Allah tentukan?

Subhanallah, walhamdulillah, allahuakbar.

Dan kepada Allah sebaik-baik tempat kembali…

No comments:

Post a Comment