Pages

Tuesday, May 3, 2011

Ada Seninya

Islamic Graffiti work by artist Mohammed Ali in Birmingham






Ada manusia yang mudah tersinggung apabila ditegur. Ada yang buat tak tahu je. Ada yang simpan dendam. Ada yang cakap: “nak tegur orang tu, tengok diri sendiri dulu la wei”.

Tetapi segalanya bergantung kepada jenis teguran dan cara menegur. Ada adabnya. Ada tatasusilanya. Bukan main hentam sahaja. Rasa nak marah, sembur je kat semua orang. Rasa tak puas hati, jom kita settle kat simpang tu. Tak. Bukan begitu. Hatta Allah pun ada cara yang istimewa untuk menegur Rasulullah. Macam di dalam surah Al-Kahfi dan ‘Abasa. Cuba baca. Indah kan? Penuh dengan perkataan yang baik-baik dan peringatan yang menusuk kalbu.

Kalau Allah pun seperti itu, menegur dengan lemah-lembut dan penuh hikmah, kita pula bagaimana?

Antara cara yang paling mudah untuk menegur ialah meletakkan kita di tempat orang yang mahu ditegur. Kita mesti nak orang cakap elok-elok dengan kita kan? Kita mesti tak nak orang aibkan kita kat depan semua orang kan? Kalau kita rasa macam tu, orang lain pun rasa benda sama.

Pemilihan perkataan yang bagus, masa dan keadaan yang sesuai, dan yang paling penting sekali NIAT untuk menegur, memainkan peranan yang penting dalam proses ni.

Kerana natijahnya cuma dua; sama ada dia tersinggung dan marah apabila ditegur, atau dia menerimanya dengan hati dan terbuka dan berlapang dada. Malah dia akan mengambil teguran itu dari sudut yang positif dan memperbaiki dirinya.

Ada satu kisah di zaman Rasulullah. Kisah bagaimana seorang lelaki ini menjadikan kata-kata Rasulullah ke atas dirinya, sebagai pemangkin untuk menyebarkan dakwah.
Siapa yang tidak mengenali seorang hamba berkulit hitam, yang telah membunuh bapa saudara Rasulullah, Saidina Hamzah dalam peperangan Uhud?

Betul. Wahsyi namanya.

Sewaktu Fathu Makkah, Rasulullah menghantar para sahabat untuk menyeru Islam kepada Wahsyi. Dan dia menerima seruan tu.

Rasulullah memanggil Wahsyi untuk bertemu baginda. Baginda meminta Wahsyi untuk menceritakan detik pembunuhan itu berlaku. Dan Rasulullah berasa hiba dan sedih mengenangkan peristiwa tu. Lalu Rasulullah berkata kepada Wahsyi:
“pergilah kamu dari sini, dan jangan muncul lagi di hadapanku”.

Ya Allah.

Satu tamparan hebat buat Wahsyi apabila kekasih Allah sudah berkata begitu.
Semakin hari semakin bertambah rindu Wahsyi kepada Rasulullah. Kadang-kadang dia mengambil peluang mengintai-ngintai Rasulullah di celah-celah orang ramai. Wahsyi sebak. Luluh hatinya.

Tetapi Wahsyi tidak pernah berdendam dengan Rasulullah. Wahsyi tahu Rasulullah ada sebab yang kukuh untuk berbuat demikian. Wahsyi telah berbuat sesuatu yang kejam di zaman jahiliyyahnya. Dan Rasulullah tidak mahu mengenang peristiwa sedih itu lagi seterusnya mencacatkan kasih sayang baginda kepada ummat baginda yang seorang itu.

Wahsyi bertekad untuk meningkatkan taqwanya kepada Allah. Dan sebagai usaha untuk menebus dosanya yang lalu, Wahsyi berikrar tidak akan pulang ke Makkah untuk menyebarkan dakwah kepada dunia. Itu cita-cita Wahsyi.

Akhirnya, Wahsyi meninggal dunia di luar semenanjung Tanah Arab. Dan ramai yang memeluk Islam menerusi dakwah Wahsyi.

Sirah dan kisah para sahabat sememangnya memberikan contoh yang terbaik bagaimana untuk menangani situasi tertentu dalam kehidupan.

Cara menegur, reaksi apabila ditegur, sikap positif yang ditanam, menjadikan kisah-kisah sebegini membuka dimensi yang berlainan apabila berbicara tentang sikap. Sikap seorang manusia yang melihat kehidupan dari dimensi akhirat; iaitu untuk menjadi manusia yang lebih baik dari semalam.

Menegur itu ada seninya, ada adabnya, ada tertibnya.

Dan jika niat itu bulat kerana Allah, dari hati akan sampai ke hati.


###

Beria benar US meraikan kematian Osama Ben Laden. Atau ini merupakan salah satu dari propagandanya seperti yang terdahulu?

No comments:

Post a Comment