Pages

Monday, June 20, 2011

Nilai Yang Dipertahankan


Bismillah..



Kira-kira seminggu yang lalu, warga Republik Indonesia hangat membahaskan kes penipuan di dalam peperiksaan, yang berlaku di SDN Gadel 2, Surabaya. Secara ringkas, kisahnya begini:

Ketika peperiksaan sedang berlangsung, terdapat segelintir guru di sekolah terbabit membenarkan para muridnya untuk meniru di dalam peperiksaan. Hairan dengan tindakan gurunya itu, seorang pelajar yang bernama Alif, telah mengadu kejadian tersebut kepada ibunya setelah tamat waktu persekolahan.

Apakah yang harus dilakukan oleh si ibu?

Mendiamkan diri supaya anaknya tetap lulus?

Atau mempertahankan nilai kejujuran yang telah dipahatkan sebagai jati diri?

Dengan berbekalkan keyakinan Allahu ‘aliim, si ibu telah melaporkan ketidakjujuran segelintir guru di sekolah tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab. Dan bertitik tolak dari tindakannya yang berani itu, ada akibat yang sedia menanti.

Adakah si ibu itu akan dianggap sebagai wira?

Atau diberi darjah kebesaran yang setimpal dengan tindakannya yang luar biasa itu?

Apa yang berlaku justeru sebaliknya. Dia telah diusir keluar dari kampung halamannya oleh para ibu yang tidak berpuas hati dengan perlakuannya itu; kerana bimbang anak-anak mereka tidak akan lulus dalam ujian berkenaan.

Nah.

Aneh bukan?

Tetapi, ingatlah pesan ar-rasul kepada ummat dalam hadith ghuraba’ yang mafhumnya:

“Islam ini pada awalnya dianggap asing dan akan kembali menjadi asing sebagaimana awalnya dan beruntunglah orang-orang yang dianggap asing saat itu.” [HR. Muslim]

Seseorang bertanya, “wahai Rasulullah, siapa mereka orang-orang yang aneh (al-Ghuraba’) ?”, Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab, “Mereka adalah orang-orang yang tetap berbuat baik ketika manusia telah rosak.” [HR. Ahmad ]

Kita tekankan kepada jawapan Rasulullah: “Mereka adalah orang-orang yang tetap berbuat baik ketika manusia telah rosak.”

Atau dalam bahasa mudahnya melawan arus. Menjadi yang ganjil.

Dan hakikatnya, tentulah tidak semudah yang disangka; mempertahankan apa yang kita imani dan yakini ditengah-tengah taufan dunia yang semakin pelik dan membingungkan.

Tetapi, ianya tentulah tidak mustahil sama sekali.

Abdullah bin Huzafah as-Sahmy dengan utuhnya memegang prinsip dan apa yang diyakini. Tatkala berhadapan dengan seorang maharaja musyrik, dengan tenang Abdullah mengucapkan : "aku mempunyai iman yang akan aku pertahankan dan seandainya aku diberi nyawa sebanyak rambutku ini, sama sekali aku tidak akan gadaikan apa yang aku yakini”.

Mantap. Keyakinan yang tidak mampu digugah.

Sayyid Qutb dengan tegas dan berani membela apa yang diyakininya; bahawasanya yang haq dan yang batil itu jelas, tidak boleh dicampur sama sekali. Bukunya yang berjudul Ma’alim fit Thariq, boleh menjadi sumber yang jelas mengapa dia dihantar ke tali gantung.

Hebat. Kerana keyakinannya bertunjangkan iman.

Beberapa kisah sirah dan para sahabat yang lain telah menyuluh jalan yang jelas kepada kita bahawa keimanan serta prinsip dan nilai yang digariskan Al-Quran dan As-Sunnah lebih agung dan layak untuk dipertahankan.

Kerana dari iman itulah akan berbuahnya taqwa; yang akan menghantarkan satu pesanan kepada jasad dan roh bahawa satu saat nanti, pasti akan berlaku hari perhitungan amal, dan tiada satu pun yang akan terlepas dari penghakiman Rabbunal Jalil, walau sebesar zarah.

Pertahankan apa yang kita yakini; yang menurut acuan agama tentunya, supaya ada ganjaran buat kita di dunia dan akhirat.

Wallahu’alam.

3 comments:

  1. apa jadi pada ibu tu? nasib terbela atau tak?

    ReplyDelete
  2. astaghfirullaah..
    dahsyatnya sampai kena halau dari kampung..

    acuan dari si ibu yg jujur akan membentuk anak yg juga jujur, ya nggak?

    qulilhaq walaukaana murra
    tahniah buat si ibu dan anak!
    Allah saja tempat pergantungan (n.n)

    ReplyDelete
  3. @ Asma':
    alhamdulillah, akhirnya semua pihak tersedar dari lena

    @ Syaimaa':
    ingatkan dalam drama je yang ada adegan macam tu..

    ya, tepat sekali. acuan dari ibu dan ayah. buah tidak akan jatuh jauh dari pohon^^

    ReplyDelete