Bismillah
Alhamdulillah, Allah masih memberi nikmat yang tidak terhingga untuk meneruskan Ramadhan yang sudah masuk hari ke-8. Semoga masih bersemangat untuk berpesta ibadah di bulan yang istimewa ini dan perbanyakkanlah untuk memohon keampunan-Nya di atas dosa-dosa yang telah berlalu.
Ramadhan di Malaysia mungkin berbeza dengan Ramadhan di tempat-tempat lain. Di sini kita dimeriahkan dengan bazaar Ramadhan yang kelihatan di mana-mana (mungkin satu taman perumahan mempunyai dua bazaar), program-program ihya’ Ramaadhan di masjid-masjid atau dianjurkan oleh pelbagai organisasi, dan tidak ketinggalan juga rancangan-rancangan yang ditayangkan di kaca televisyen; sarat dengan infomasi yang berkaitan dengan agama.
Apa yang dapat saya perhatikan, bidang penyiaran telah mengalami beberapa transformasi yang positif sejak kebelakangan ini (walaupun mungkin memerlukan penambahbaikan dari sudut-sudut tertentu). Wujudnya TV Al-Hijrah, Astro Oasis dan beberapa saluran televisyen yang lain dapat memberi peluang kepada semua ummat Islam di Malaysia untuk memahami agama ini dengan lebih mendalam. Ya, mungkin tidak dapat kita samakan dengan mendalami ilmu agama secara berguru atau bertalaqqi, tetapi alangkah baiknya jika rancangan-rancangan keagamaan yang ditonton di kaca tv dapat menjadi titik tolak kepada kecintaan mereka kepada Allah dan Rasul-Nya. Contohnya, rancangan Law Kana Bainana yang disiarkan di TV Al-Hijrah, boleh meninggalkan kesan yang mendalam kepada para penonton tentang kecintaan kita yang sepatutnya kepada Rasulullah. Jejak Rasul, Kembara Di Bumi Anbiyaa’, dan tidak ketinggalan juga rancangan mengenai bumi yang dijajah, Palestin, mampu mencelikkan mata dan minda tentang kebenaran yang sebenarnya.
Mungkin ada yang berkata, “kita tidak perlukan televisyen, internet sahaja sudah memadai untuk mendapatkan maklumat”. Ya, pendapat ini mungkin ada benarnya dari satu sudut. Tetapi dari satu sudut yang lain, ianya tidak boleh digunapakai bagi masyarakat yang tidak mempunyai akses kepada internet, terutamanya bagi mereka yang tinggal di pedalaman atau golongan warga emas, di mana mereka hanya mengharapkan televisyen sebagai sumber maklumat utama. Apa yang disiarkannya, mereka akan mempercayainya bulat-bulat kerana sumber yang mereka punya sangat terhad. Berbeza dengan golongan yang celik IT, mereka mempunyai kemudahan untuk akses kepada internet, dan berupaya untuk mendapatkan maklumat dan informasi yang pelbagai.
Sesetengah intelektual Muslim seperti Tariq Ramadhan beranggapan perlunya kita, ummat Islam untuk menguasai media dan penyiaran, kerana kedua-duanya adalah demanding areas untuk abad ini. Kemampuan kita untuk menyalurkan informasi melaluinya membolehkan kita mendidik masyarakat secara perlahan-lahan dan berperingkat. Bukan untuk menafikan medium-medium lain yang telah digunakan sebelum ini, tetapi jika ada satu medium yang lebih efektif dan bersifat menyeluruh untuk menyebarluas kefahaman Islam, kenapa tidak?
Dan saya yakin, golongan yang cenderung ke arah ini telah wujud di Malaysia. Cuma mereka masih berusaha mencari platform dan masa yang lebih sesuai untuk ‘beraksi’.
Pesan saya, kita jangan pernah berhenti berikhtiar untuk mendidik dan melakukan perubahan kepada ummat. Kita mungkin mendapat pelbagai tentangan dan halangan, tetapi di tengah-tengah masalah itulah, selalu muncul peluang dan harapan baru.
Teruskan bekerja, insyaAllah, Tuhan beserta kita.
No comments:
Post a Comment