Mencetus revolusi melalui madrasah Ramadhan
Di ambang ramadhan, republik ini menyaksikan satu penggulingan kuasa yang cukup memalukan dalam sejarah peradaban manusia. Presiden yang dilantik secara sah oleh rakyat dalam pilihanraya pertama secara telus dan adil digulingkan hanya selepas setahun memerintah negara, lalu digelar sebagai diktator oleh sebahagian negara di dunia. Dalam kejadian ini, ternyata, pihak tentera telah melakukan pengkhianatan terhadap bangsa dan negaranya sendiri.
Namun, masa terus berjalan dan tidak akan menunggu manusia. Ramadhan akhirnya tiba dan membuka tirainya. Walaupun sebahagian penduduk Mesir yang faham dan celik hatinya masih berduka dengan pengkhianatan yang berlaku, mereka masih menyambut kedatangan tetamu istimewa ini sebagaimana tahun-tahun sebelumnya; meriah dengan ucapan ‘ramadhan kareem’ yang diucapkan tatkala bertemu di jalan-jalan, rumah-rumah dihias cantik dengan perhiasan dan fanus (tanglung) yang digantung indah serta beberapa lagi persiapan yang lazimnya dilaksanakan menjelangnya ramadhan.
Bagi rakyat yang masih tegar memperjuangkan hak Dr. Mohamed Morsi sebagai presiden Mesir yang sah, Ramadhan yang dinanti-nantikan ini bukanlah penghalang untuk memperkemas langkah dan memperteguh perjuangan. Bahkan Ramadhan justeru dilihat sebagai ruang dan peluang untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah, jalan dan jambatan untuk mengadu perbuatan dan karenah sang fulul yang merosakkan bangsa, dan harapan untuk memohon bantuan dan pertolongan-Nya untuk memenangkan yang haq di muka bumi ini, bukan sahaja di Mesir, bahkan untuk seluruh pelusuk dunia. Semangat Badar ternyata berkobar-kobar dan menyala-nyala di dalam dada, mereka melaungkan kebenaran dengan penuh semangat demi kesejahteraan bangsa ini khususnya dan demi Islam di seluruh dunia amnya.
Ramadhan sunyi dan sepi
Benar. Ramadhan di sini sunyi dan sepi. Sunyi daripada bazaar Ramadhan yang menggamit pengunjung yang berlumba-lumba berpesta makanan secara berlebihan dan keterlaluan. Ianya juga sepi daripada pusat membeli-belah yang memperdengarkan koleksi lagu raya yang syahdu serta menawarkan harga runtuh untuk promosi Syawal. Namun, ianya tetap meriah dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran dari corong pembesar suara di masjid-masjid dan kedai-kedai, riuh dengan panggilan menyertai maidatur- rahman ketika berbuka puasa dan juga berlumba-lumba untuk mengedarkan minuman dan tamar kepada orang awam yang berada di jalan-jalan ketika masuk waktu berbuka.
Ramadhan hadir sebagai satu pakej lengkap daripada Tuhan. Jika kita gembira menerima hadiah daripada sesama manusia, apatah lagi hadiah istimewa anugerah Tuhan; alangkah terharu dan suka citanya hati menerima anugerah ini. Kehadirannya ibarat menyelimut rahmat ke seluruh alam serta menyebar bahagia kepada semua manusia. Bulan di mana dustur (perlembagaan) manusia diturunkan, ada padanya malam yang lebih baik dari seribu bulan, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia dibelenggu, pintu syurga dibuka seluas-luasnya manakala pintu neraka ditutup serapat-rapatnya, bulan yang digandakan pahala setiap amal, bulan yang dimakbulkan doa-doa, bulan untuk berpesta ibadah tarawih di malam hari, serta seribu satu macam lagi keistimewaan yang boleh digapai bagi para mukmin jika mereka bersungguh-sungguh menghidupkan ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah.
Sesungguhnya, hakikat Ramadhan itu bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi apa yang lebih utama ialah tujuan berpuasa itu sendiri adalah untuk membina taqwa. Taqwa bukanlah boleh digapai dengan sewenang-wenangnya, tetapi ianya memerlukan niat yang ikhlas dan jelas, bersungguh-sungguh dalam melakukan amal, dan bermujahadah melawan hawa nafsu dan kehendak diri sendiri yang cenderung kepada kesenangan dan keselesaan. Pertarungan di bulan Ramadhan bukanlah pertarungan antara manusia dan syaitan, tetapi pergelutan sengit di antara manusia dan nafsunya sendiri. Segala puji hanya layak bagi Allah yang telah mempermudahkan ibadah di bulan ramadhan dengan membelenggu syaitan yang direjam daripada menggoda manusia. Justeru, di bulan Ramadhan inilah kita mampu untuk mengenal diri sendiri; adakah kita menjadi lebih baik setelah syaitan dibelenggu atau tumpas di tangan nafsu sendiri yang telah berjaya ditarbiyyah kemas oleh syaitan sepanjang sebelas bulan yang lalu.
Mitos di bulan Ramadhan
Ada pun cakap-cakap bahawa bulan puasa menjadikan kita lemah bermaya dan tidak produktif adalah mitos sama sekali. Adakah kita lupa bahawa peperangan badar telah berlaku di bulan Ramadhan dan ketika itu ianya baru disyariatkan? Ibrah dan iktibar dari Badar haruslah ditelusuri agar kita berjaya mencontohi jalan dan perjuangan para sahabat. Oleh kerana itu, adakah wajar kita membuang masa dengan menonton televisyen berjam-jam atau tidur sepanjang hari supaya badan tidak terlalu merasa letih ketika berpuasa? Tidak dapat dinafikan bahawa definisi Ramadhan itu sendiri adalah menahan diri dari lapar dan dahaga. Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk kita sambil-lewa beribadah. Ikhlaskan niat, tetapkan matlamat, mintalah kekuatan dari Allah untuk mempermudahkan kita beribadah hanya semata-mata kerana-Nya, insyaAllah, pasti Allah akan memberikan pertolongan dan menunjukkan jalan.
Mereka yang berkumpul di medan Raba’ah, medan Nahdhah, serta beberapa wilayah di sekitar Mesir telah menunjukkan contoh teladan Badar di alaf baru. Bagaimana mereka mampu untuk berpuasa di bawah terik mentari yang memancar, menahan lapar dan dahaga selama 16 jam, kemudian bergegas untuk bersolat tarawih yang panjang, serta bersemangat untuk mendirikan qiyamullail di sepertiga malam? Ini kerana mereka jelas dengan hadaf dan tujuan mereka berkumpul; mempertahankan hak dan legitimasi presiden yang dilantik ini bererti memelihara revolusi rakyat 25 Januari lalu, mempertahankan presiden yang lantang bersuara ini bererti memelihara kedaulatan Islam agar terus terjaga di rantau ini, mempertahankan peribadi hebat ini bererti berusaha untuk menghentikan tangisan dan duka di Syria, Palestin dan di seluruh dunia.
Sumber kekuatan
Bagaimana mereka mampu untuk sehebat, sekuat dan setekad itu? Hakikatnya, kekuatan ini datangnya daripada Allah. Daripada Allah sahajalah kita memohon kekuatan dan pertolongan. Tidak ada yang mustahil bagi Allah. Dialah Tuhan pemilik kerajaan langit dan bumi, yang memasukkan malam ke dalam siang, yang memasukkan siang ke dalam malam, dialah juga Tuhan yang menghantar angin kencang ketika pertembungan sengit Ahzab dan dialah Tuhan yang sama hari ini, tempat kita menyandarkan segala harapan untuk memenangkan Islam.
Dan jangan mengukur menggunakan timbangan logik akal manusia sahaja kerana ianya tidak mampu mencerna perkara-perkara di luar batas keupayaan manusia. Di Taif, mereka yang kuat menentang Rasulullah ternyata melahirkan generasi yang membela agama ketika gejala murtad berleluasa. Di medan Badar, yang beratus mengalahkan yang beribu. Di Hudaibiyah, perjanjian yang termeterai ditafsirkan berat sebelah oleh akal manusia, namun pada akhirnya menyaksikan pembukaan Makkah yang gilang-gemilang. Para syuhada’ yang gugur di medan juang disangkakan mati, walhal mereka hidup di sisi Allah bahkan mendapat rezeki.
Mari mencipta Ramadhan terbaik
Akhir sekali, hidupkan ‘rasa’ dan jiwailah Ramadhan itu di dalam diri kita agar ianya menjadi sumbu yang mampu untuk menyalakan sebelas bulan yang akan datang. Marilah kita mencetus revolusi melalui madrasah Ramadhan ini dengan gigih dan cekal berpesta ibadah dan bersungguh-sungguh mengikis karat jahiliyyah sehingga akhirnya kita mampu lahir sebagai pejuang agama di sisi Allah kerana pada hakikatnya ummah sangat memerlukan kita. Manfaatkanlah 720 jam yang berharga ini untuk bekalan kita sebagai seorang daie dan hamba rabbani. Kita mampu untuk mencipta Ramadhan yang terbaik tidak kira di mana kita berada, baik di Malaysia, Mesir atau di mana sahaja belahan dunia kerana bumi tidak menyucikan tetapi yang menyucikan dan mendekatkan diri kita kepada Allah ialah amal soleh yang ikhlas.
Semoga Ramadhan ini menyaksikan pertolongan Allah untuk ummat Islam di seluruh dunia. Dan semoga di penghujungnya kita direzekikan taqwa oleh Allah sebagai hasil penat-lelah beramal dan bermujahadah semata-mata kerana-Nya dan semoga Allah menerima amal kita.
Nur Syuhada Roslan
Mansourah, Mesir
Graduan Bahasa Arab UIAM Gombak

No comments:
Post a Comment