kisah nota-nota yang terlipat-renyuk.
(satu)
kisah kapal terbang
tidak banyak yang boleh diperkatakan. segala macam teori sudah diutarakan. boleh dipilih-pilih, tak mahu yang hari ini, esok akan keluar yang baru.
hati tetap percaya yang Tuhan sentiasa mahu ajar sesuatu pada tiap-tiap kejadian. keluar musafir, ada tujuan dan adabnya. kalaupun berlaku musibah di pertengahan jalan, kita akan kembali semula pada Dia. sebagai hamba, kita sudah siap sedia payung, kalau terpercik sedikit tempiasnya, kita akan terima. terima dalam erti kata tengok semula diri kita. dan juga sentiasa mengagungkan Tuhan dalam apa jua situasinya.
dan sebagai yang diciptakan, jadilah yang seadanya.
kalau kita tidak tahu, betul-betul tidak tahu, usahlah berlagak pandai. memang akan sampai satu tahap, buntu akan menerpa. dan sebaik-baiknya, yang keluar dari bibir adalah- wallahu'alam bissawaab. sikit pun tak nampak bodoh kalau sebut ini.
(dua)
mesir 529
ingat lagi, terngiang-ngiang kata-kata ustazah: "memang kita sekarang sedang menantikan syahid. kalau dulu kita rasa susah, rasa tidak mahu mati, tapi sejak tragedi rabaah, semua daripada kita mahu syahid. kalau boleh, biar setiap rumah di mesir ini ada yang syahid."
kalau mengadu itu ini, mesti ustazah ingatkan, tawakkal kita hanya pada Allah. dan Allah pasti akan menjaga dakwah ini.
dan dr. raghib as-sirjani pernah berpesan dengan penuh rasa tsiqah yang tinggi pada Allah: "segala perkara dalam ketentuan Allah. Dia yang memulakan sesuatu, maka dia yang akan mengakhirinya. Allah pemilik sekalian alam. sebagaimana Allah menjadikan dua yang saling bertentangan; siang dan malam, hidup dan mati, Allah yang maha berkuasa juga yang akan menentukan siapa yang akan berada di tampuk kekuasaan, (siapa yang akan mati di tali gantung), dan segala macam lagi yang berlaku di dunia ini. ianya sekali-kali tidak pernah berada dalam genggaman kuasa manusia."
buat teman-teman satu hati di sana, semoga sentiasa tabah. sangat memahami perasaan apabila seolah-olah terpaksa membisu, mengunci mulut dan tangan daripada bercakap soal im dan mesir. Allah tahu apa yang antum rasa. Allah tahu survival antum.
semoga Allah tentukan yang terbaik.
(tiga)
mukhayyam
rasa macam tidak menyumbang sehabis baik. entahlah. 'ala kulli hal, semoga adik-adik dapat menjadi Harun kami di jalan ini. besar harapan bila melihat mereka. semuanya ada kelebihan dan mujahadah masing-masing. buat kakak-kakak dan teman-teman, semoga Allah ganjari penat lelah dan pengorbanan antum.
(empat)
kampung
tiba di kampung, lihat nenek yang semakin uzur. namun semakin cekal semangatnya untuk beribadah. kadang-kadang, belum masuk waktu lagi, dah siap bertelekung. dengan segala kepayahan, Allah beri semangat untuk terus mengabdikan diri. memang sangat mengetuk diri sendiri yang sihat walafiat. semoga Allah terus beri kekuatan buat kita semua, bukan setakat yang wajib saja, segala yang sunat pun kita kutip semua sekali.
akhir sekali, teruslah berlari.
No comments:
Post a Comment