(Tulisan ini bersifat agak peribadi kerana ianya merupakan pendangan saya berdasarkan pengalaman yang saya lalui.)
Tanggal 23 Jun lalu, membuka satu dimensi baru buat sistem nilai saya. Pada asalnya, niat untuk berjalan-jalan buat kali terakhir ke sekitar Malioboro, salah satu tempat yang terkenal buat para pelacong yang datang ke Jogjakarta,tetapi akhirnya mata tertumpu kepada satu aktiviti yang lebih menarik; menyaksikan demonstrasi insan-insan yang lebih kurang sebaya dengan saya.
Demonstrasi jalanan atau dalam bahasa Indonesianya dipanggil aksi bukanlah sesuatu yang baru buat rakyat negara merah putih ini. Sejak zaman kejatuhan Suharto, demonstrasi telah diberi kebenaran untuk dianjurkan; dengan syarat dalam keadaan aman. Ada sahaja isu yang mereka kurang berkenan, keluarlah mereka ke jalan-jalan raya, membawa sepanduk dan sebagainya. Polis hanya bertugas untuk memantau keselamatan orang awam, dan jika mereka kebosanan, ada di antara mereka yang mengambil gambar serta berbual dengan para wartawan di sekitar tempat kejadian.
Demonstrasi yang disaksikan ini dianjurkan oleh Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI). Mengapa? Untuk menuntut pembelaan yang sewajarnya ke atas Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang diancam oleh hukuman pancung di seluruh dunia di atas kesalahan-kesalahan tertentu. Semuanya bertitik-tolak daripada kes Ruyati, seorang pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Arab Saudi, telah dihukum pancung akibat membunuh majikannya. Dan apa yang saya dengar, Ruyati mempunyai sebab untuk melakukan tindakan itu.
Peluang untuk menyaksikan demonstrasi ini harus digunakan sebaiknya. Inilah peluang untuk saya belajar, menilai sejauh mana potensi mahasiswa-mahasiswa yang menyertai demonstrasi ini, sama ada hanya untuk menang sorak sahaja, atau betul-betul mahu menyuarakan isu tersebut agar dapat didengari oleh pemerintah.
Kami sempat untuk menemuramah seorang mahasiswa dan mahasiswi berkenaan objektif demonstrasi ini dianjurkan, peranan mahasisiwa dalam pembangunan negara serta beberapa lagi soalan yang lain. Jawapan mereka dapat saya simpulkan kepada point berikut:
1. Tujuan demonstrasi ini jelas; menuntut pemerintah untuk lebih mengambil berat serta membela nasib TKI yang dihantar bekerja ke negara-negara lain.
2. Peranan mahasiswa sebagai agent of change; mereka berhak untuk menyuarakan pendapat terhadap isu-isu yang berlegar di dalam negara, dan di tangan merekalah kepimpinan di masa hadapan akan diwarisi.
3. Antara petikan kata-kata yang paling mantap bagi saya, diucapkan oleh Vivid Nur Arisa Putera, Mahasiswa Pengurusan Pendidikan, Universitas Negeri Jogjakarta : “Mahasiswa adalah cadangan masa depan, kita tidak boleh jauh dari realiti. Kampus yang menjauhkan mahasiswa dari realiti adalah salah, sebab itu kita mendekatkan dengan realiti. Dan realiti itu penuh dengan masalah.”
Apa yang mengagumkan, Saudara Vivid ini pintar di bahagian undang-undang, boleh menyebutkan beberapa enakmen undang-undang satu per satu, walaupun bukan berada di jalur perundangan.
Sungguh, suasana hari itu menceritakan kepada saya, betapa peranan mahasisiwa itu tersangatlah besar, dan peluang untuk menganjurkan demonstrasi secara aman itu digunakan sebaiknya untuk menyampaikan hasrat serta mewakili suara mahasiswa secara umum. Ada satu aura positif dapat saya kesan, melalui kebenaran untuk menganjurkan demonstrasi secara aman di Indonesia, para mahasiswa lebih merasakan peranan sebagai pemacu kepada perubahan dan menjadi bahagian daripada perencanaan masa depan negara. Suara mereka dapat didengari pemerintah, serta lebih bersedia untuk megambil alih pemerintahan di masa yang akan datang. Mereka bukanlah semata-mata belajar di dalam kelas yang berhawa dingin, menduduki peperiksaan untuk lulus dengan cemerlang, tetapi buta serta tuli dengan keadaan masyarakat sekeliling. Mereka berusaha memperbaiki diri sendiri, belajar bersungguh-sungguh, membuka mata dan telinga terhadap apa yang berlaku kepada masyarakat serta mencari jalan untuk sama-sama ke arah yang lebih baik.
Mungkin agak sensitif untuk berbicara soal demostrasi akhir-akhir ini, tapi saya tidak mahu melepaskan peluang untuk berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman yang saya timba.
Di awal tulisan telah saya ingatkan ini hanyalah pandangan saya, dan mungkin orang lain melihatnya dalam dimensi yang berbeza. Mahu berkongsi pandangan? Saya amat alu-alukan.
Wallahu’alam.
p/s: saya tidak begitu menggemari kuning, tetapi saya tetap menghormatinya sebagai sejenis warna.
No comments:
Post a Comment