Pages

Monday, August 15, 2011

Ramadhan rasa tawar

Bismillah



Ramadhan sudah separuh. Berbaki lagi separuh. Dan tidak sampai lima malam lagi kita akan menerima kedatangan lailatul qadar. Harus beramal dengan lebih bersungguh-sungguh, supaya puasa kali ini bukanlah hanya menjadi pelepas syarat seorang Muslim, dan lebih teruk lagi jika puasa ini tidak lain hanyalah mendapat lapar dan dahaga sahaja. Mohon Tuhan jauhkan. Saya pasti kita punya halatuju dan objektif yang jelas untuk dicapai selepas Ramadhan ini. Moga Tuhan permudahkan, insyaAllah.

Malam ini, solat tarawihnya sedikit berbeza kerana diselangi dengan tazkirah ringkas tetapi cukup bermakna. Suara imamnya cukup dikenali, kerana beliau pernah menjadi mua'llim saya ketika kelas fardhu ain sekolah rendah, mengajar Bahasa Arab. Soalannya ketika tazkirah sangatlah ringkas, tetapi mampu untuk menjentik iman jemaah yang hadir.

"Mengapa kita rasa tawar dalam beribadat kepada Allah di bulan Ramadhan ni?", soalnya ringkas.

"Mengapa? Bukan sebab harga gula dah naik tau," beliau cuba berjenaka.

"Saya mahu memberi dua sebab. Pertama hub ad- dunya (cintakan dunia) dan yang kedua kurangnya sifat ihsan dalam diri kita."

Satu tembakan tepat mengenai sasaran.

Ya, terlalu cintakan dunia, seolah-olah ianya tempat abadi kita. Bila kita terlalu mencintai dunia yang fana ini, saya jamin, hati kita akan mengeras. Dan kita sendiri tahu apa yang bakal terjadi jika seketul daging ini sudah parah. Malas melakukan kebaikan, dan tiada rasa berdosa melakukan larangan Tuhan. Sensor dosa sudah punah teruk dihentam nafsu yang meracau.

Muhammad Ahmad Ar-Rasyid berkata:

Hendaklah ia mencela hatinya dengan berkata : "Mengapa ia mengekang kebaikan?Mengapa ia memutuskan hubungan dengan segala kebaikan dan amal-amal yang seharusnya dilakukan? Dalam pada itu ia mengizinkan hal-hal duniawi untuk bermesraan dengannya?*

Dan jika hati sudah keras, mata pula sukar menitiskan air mata.

Kata Ibnul Qayyim:

"Kepunyaan Allah lah kerajaan langit dan bumi. Lalu Dia meminta darimu satu butir pasir tetapi kamu kikir kepada-Nya. Dia sudah mencipta tujuh lautan, lalu dia menginginkan satu titis air mata tetapi kamu mengeringkan matamu".

Ya, saya tidak nafikan, iman manusia bertambah dan berkurang. Tetapi di bulan Ramadhan ini, berbuatlah sesuatu supaya momentum iman kita tidak menjunam jatuh. Usaha, usaha dan usaha. Allah pasti akan memberikan jalan.

Nak usaha apa?

Saya yakin dan percaya, kita semua sudah mempunyai perancangan sejak awal Ramadhan. Perhatikan, adakah kita telah melaksanakan apa yang kita rancang?

Pesan saya untuk diri sendiri dan teman-teman, segarkan kembali perancangan kita, bangunkan motivasi dan percaya diri, dan ayuh, laksanakannya!

Allah berjanji:

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya". (29:69)


Kita semua percaya, bulan Ramadhan merupakan bungkusan hadiah yang dikirim Tuhan untuk ummat Muhammad. Takkanlah kita sampai hati untuk melihat hadiah yang lumayan ini berlalu begitu sahaja, tanpa mendapat apa-apa manfaat darinya, sedangkan orang lain berpesta dan bergembira menyambut dan melayaninya dengan penuh kesyukuran?

Jangan jadikan pesta ibadah kita di bulan ini terasa tawar dan hambar. Cari dan gali resepi yang terbaik, yang penuh khasiat dan nikmat, supaya ada kemanisan, kekenyangan, serta kepuasan dalam beramal.


Biar hati dan jiwa kita 'gemuk' di bulan Ramadhan ini, supaya di bulan-bulan yang akan datang, kita tidak menangis, 'kekurangan gizi dan nutrisi'.

___________

* (Al-'Awaiq- Hambatan-hambatan dakwah oleh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid)


No comments:

Post a Comment