Saya kira peristiwa pembunuhan duta U.S di Libya cukup meributkan keadaan dunia, terutamanya di dua buah negara di Timur Tengah iaitu Mesir dan Libya. Ianya bertitik tolak dari sebuah filem yang menghina Rasulullah yang dipercayai telah dihasilkan oleh "Sam Bacile". Dan sehingga sekarang identiti sebenar Sam ini tidak diketahui.
Saya mengikuti rentetan peristiwa ini di Al-Jazeera, BBC dan beberapa website yang boleh menjadi sumber maklumat, dan pada akhirnya saya dihidangkan dengan gambar-gambar rusuhan yang berlaku di sekitar negara Islam di seluruh dunia. Membakar bendera U.S, memanjat pagar kedutaan U.S di negara masing-masing serta beberapa lagi perbuatan yang saya tidak pasti adakah ianya memberi kebaikan kepada Islam atau memberi kefahaman kepada orang lain mengenai peribadi sebenar Rasulullah yang dihina itu.
Terdapat juga beberapa pihak yang menganjurkan demonstrasi secara aman menyatakan protes mereka terhadap penghinaan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.
Sudah tentu filem ini meniup api kemarahan semua yang bergelar Muslim, tidak kira sama ada seseorang itu komited mengamalkan ajaran Islam atau sebaliknya. Allah dan Rasul-Nya pastilah menduduki senarai teratas entiti yang harus dihormati dan diagungkan; maka wajarlah penghinaan kepada Allah dan Rasul dikecam hebat oleh semua Muslim di serata dunia.
Saya dan anda sebagai orang yang mengagungkan Rasullah sebagai manusia yang menjadi qudwah dalam kehidupan kita di muka bumi ini, pastilah merasa tercabar dengan perbuatan yang memalukan ini. Ini adalah fitrah, bilamana perkara yang berkait rapat dengan Islam dan Muslim direndah-rendahkan, kita akan berasa marah, sensitif dan tercabar.
Kerja-kerja bagus (good job) vs kerja-kerja suci (noble job)
Saya kurang pasti adakah tepat saya menterjemahkan noble job sebagai kerja-kerja suci, tetapi saya kira anda boleh memahami apa yang saya cuba sampaikan; iaitu sedikit perbezaan antara dua kerja ini.
Untuk lebih memahami apa itu good job dan noble job serta perbezaan di antara keduanya, izinkan saya untuk mengaitkannya dengan peristiwa yang baru saya ceritakan sebentar tadi; mengenai kemarahan umat Islam akibat filem yang menghina Rasulullah.
Bagi mereka yang mempunyai kesedaran ummah yang tinggi, pastinya perhimpunan dan demostrasi secara aman di hadapan kedutaan U.S serta penyerahan memorandum mengenai bantahan, pastilah menjadi salah satu aktiviti yang wajib disertai; untuk menunjukkan solidariti serta kepedulian kita terhadap apa yang berlaku kepada ummah. Anda telah melakukan tindakan yang betul kerana anda telah menunjukkan keprihatinan anda kepada isu-isu umat Islam dan anda juga telah menyertai satu demonstrasi aman dan harmoni serta menjaga adab dan akhlak anda sebagai seorang Muslim.
Ini ialah good job.
Namun bagi sesetengah orang, ada jalan lain yang mereka cuba dekati. Peristiwa ini mencetuskan idea kreatif mereka untuk terus berdakwah dan memberi kefahaman kepada masyarakat dunia -kepada non Muslim khususnya- tentang ajaran Islam serta apa yang telah Allah dan Rasulullah ajarkan.
“Discover Islam UK” in London distributed more than 110,000 copies of a translation of the Qur’an and the life of the Prophet Mohammed for the citizens of London.
(pic-fb)
Dan bagi saya inilah yang dinamakan noble job.
Iaitu mengambil peluang untuk memberi kefahaman serta mendidik orang-orang di sekeliling supaya mereka memahami sesuatu dengan menggunakan kaca mata yang betul; yang seterusnya dapat memberi nilai tambah bukan sahaja kepada mereka tetapi juga kepada individu yang mendidik tersebut.
Membina manusia dengan membetulkan sikap, kerana sikap merupakan aset terpenting kita sepanjang hayat. Atau dalam erti kata lain mencetak manusia supaya berakhlak mulia dan tinggi nilainya sebagai seorang manusia.
Bukan hanya cukuplah menjadi manusia; ada tiada tidak memberi makna. Bagai melukut di tepi gantang kata pepatah Melayu.
Maulidur Rasul di Sweden- noble job
Maulidur Rasul di negara kita sungguh meriah dengan pelbagai sambutan. Berarak di sepanjang jalan, berselawat ke atas nabi beramai-ramai, serta beberapa transfomasi baru yang dilakukan untuk lebih menarik umat Islam mencintai Rasulullah seperti Karnival Cinta Masjid dan sebagainya. Saya sendiri kagum dengan usaha-usaha sebegini rupa.
Dan ini adalah good job, kerana usaha mereka yang bukan sedikit untuk mengajak manusia; mari mencintai nabi.
Maulidur Rasul di Sweden sedikit berbeza sambutannya. Ustaz Zahazan pernah bercerita mengenai cara sebahagian umat Islam di Sweden menyambut Maulidur Rasul; iaitu dengan memberi buah tangan kepada jiran-jiran di sekeliling rumah hatta kepada yang bukan Islam sekalipun. Tatkala mereka diajukan soalan tentang pemberian itu (mungkin sempena hari istimewa atau lain-lain), mereka menjawab: " Hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiran Nabi kami. Baginda mengajarkan kami untuk saling memberi hadiah dan menyayangi semua orang di sekeliling kami."
Nah. Ada kredit di situ. Secara tidak langsung, jiran-jiran bukan Islam di sekeliling mereka dapat mempelajari tentang salah satu sifat mulia junjungan agung, Nabi Muhammad. Dan dengan sikap ingin tahu mereka itu, mungkin akan mencetuskan minat yang mendalam untuk lebih mengkaji dan mendalami agama Islam.
Dan saya kira ini adalah noble job.
Mendidik dengan memberi teladan yang baik. Berdakwah dengan cara yang kreatif, serta menukar tidak tahu kepada tahu.
Memberi rasional kepada akal manusia.
Start giving and see the joy of giving
Inilah kata-kata yang menjadi inspirasi Narayanan Krishnan. Beliau sanggup berhenti kerja di sebuah hotel yang bertaraf lima bintang akibat tidak sanggup melihat masyarakat sekitar menanggung kelaparan yang amat dasyat. "Semasa di hotel, saya memberi makan kepada semua tetamu, tetapi di kampung halaman saya sendiri, ada orang yang hidup tanpa sesuap makanan."
-Narayanan Krishnan menyuap salah seorang fakir miskin-
Dan ini merupakan noble job.
Memberikan kehidupan kepada yang lain. Memberikan mereka harapan untuk terus menanggung hidup.
Hakikatnya, beliau boleh menyalahkan kerajaan atau jabatan kebajikan masyarakat kerana mengabaikan tanggungjawab ini, tetapi beliau lebih proaktif mencari solusi.
Dan melakukan noble job membolehkan beliau merasai nikmat memberi. Kerana sifir memberi memang berbeza; makin memberi makin dirasakan lebih sesuatu rezeki.
Mulakannya di rumah.
Saya dan anda boleh memulakan noble job di rumah.
Saya beri satu contoh. Kadang-kadang adik-adik kita agak degil dan sukar mendengar kata. Seringkali menumpahkan air walaupun sudah diberitahu agar berhati-hati tatkala memegang cawan.
Namun, kadangkala air tertumpah juga.
Apa yang bakal saya dan anda lakukan?
Memarahi kanak-kanak itu dan memberi amaran supaya ianya tidak berulang lagi. Kemudian, adik kita berlalu dan menonton televisyen dengan jayanya sedangkan kita bersusah-payah mengelap air yang tertumpah sambil mulut tidak berhenti membebel?
Pada akhirnya, kita sendiri yang letih dan kanak-kanak itu tidak belajar apa-apa dari kejadian tersebut. Setiap kali kejadian sama berlaku, inilah jalan penyelesaian.
Kanak-kanak tidak belajar apa-apa dari kesalahannya.
Atau kita mempunyai pilihan kedua.
Menyuruh kanak-kanak tersebut ke dapur untuk mengambil kain lap, kemudian mengajarkannya cara mengelap air yang tertumpah, sambil mengulangi nasihat supaya sentiasa berhati-hati ketika memegang cawan dipenuhi air.
Ada nilai tambah di situ. Kanak-kanak tersebut sudah tahu tindakan yang harus dilakukan jika kejadian yang sama berulang.
Dia belajar dari kesalahannya.
Dan anda pasti tahu, di antara dua pilihan tersebut, yang mana satukah noble job.
Manusia aset terpenting.
Kita seringkali mengungkapkan bahawa pentingnya membangunkan modal insan kerana manusia atau individu merupakan aset terpenting masyarakat; yang menjadi batu asas dalam pembentukan masyarakat, di mana nilai utama seseorang itu di dalam masyarakatnya adalah sejauh mana baiknya tingkahlaku, akhlak atau peribadinya di tengah-tangah masyarakat.
Material semata-mata tidak mampu membahagiakan orang-orang di sekeliling kita.
Mereka tidak begitu berminat dengan handphone baru Samsung SIII atau rumah banglo 3 tingkat kita, mahupun kereta BMW 3 series yang kita punya, tetapi mereka cuma mengharapkan akhlak dan tingkah laku yang baik daripada kita. Tidak segan menghulurkan tangan apabila ditimpa musibah. Atau cuba melemparkan senyuman yang paling manis ketika bertegur sapa.
Itu sudah memadai.
Good job dan noble job; kedua-duanya sama-sama penting. Kedua-duanya diberi ganjaran oleh Allah jika dilakukan dengan niat yang ikhlas serta cara yang betul.
Tetapi untuk membina manusia, marilah kita lakukan kedua-duanya lebih-lebih lagi noble job.
Noble job menjadikan kita individu yang lebih komited dan bertanggungjawab dalam mendidik dan memberi kefahaman yang betul kepada sesiapa sahaja di sekeliling kita.
Memberi nilai tambah dan memperlakukan manusia selayaknya sebagai seorang manusia.
Noble job juga memberi kita ruang dan peluang untuk menjadi bahagian daripada solusi.
Dan seharusnya juga kita mentarbiyyah jiwa-jiwa kita dengan Islam yang seharusnya difahami sepertimana Ar-Rasul mentarbiyyah para sahabat. Sepertimana peribadi Abu Ubaidah al-Jarrah dan Muadz Bin Jabal.
Agar lahir seorang Muslim yang berkualiti.
Proses ini tidak mudah, kita akan melalui fasa-fasa yang memerlukan tenaga, keringat dan air mata kita, dan kemungkinan besar kita akan terus melakukannya hingga ke hujung nyawa.
Tetapi saya optimis.
Kerana saya punya impian yang besar.
Untuk membina tamadun!
No comments:
Post a Comment