antara gelap dan cahaya
ada satu garis pembeza di ufuk
tidak teradun di antara dua
hanya bila capai petunjuk
ada satu garis pembeza di ufuk
tidak teradun di antara dua
hanya bila capai petunjuk
"Jangan pukul, pencuri pun ada maruah."
Dan dia pun membawa anak pencuri yang telah mati itu ke sebuah tempat, memberinya makan.
Jackie Chan kerap membawa watak begini. Polis baik. Pengkungfu berhati mulia. Acap kali dia memberi peluang kepada musuh, padahal kalau ikutkan, lebih baik bunuh saja. Sudah penat bertumbuk, bertinju, bergusti, tetapi jika ada peluang untuk bunuh, dia tidak sampai hati.
Ada prinsip tersemat kukuh; semua orang layak mendapat peluang kedua.
Juga memandang manusia sebagai seorang manusia. Mungkin akibat terdesak, seorang manusia memakai 'pakaian pencuri'. Mungkin akibat tertekan, manusia memakai 'pakaian kaki pukul'. Mungkin akibat sakit hati, manusia memakai pakaian 'minah leser'.
Yang salah tetap salah. Dan yang salah itu cumalah 'pakaiannya'. Lebih dari itu, dia manusia biasa yang ada dua tangan, dua mata,dua kaki, satu mulut, dan yang lebih utama, ada sekeping hati dan perasaan yang berwarna-warni seperti manusia-manusia biasa.
Dan mungkin sensitifnya lebih luar biasa, siapa tahu?
Lihat Khalid dan Umar. Apabila pakaian jahiliyyah tertanggal, cing! Lebih bersinar dari sebelumnya. Orang yang paling cenge itulah yang paling banyak air matanya. Untuk Tuhan. Demi agama.
Lihatlah manusia secara adil. Bukan sahaja pada 'pakaiannya', namun menembusi ke hati dan jiwanya. Latar belakangnya. Liku-liku hidupnya. Jalan hidup seseorang mungkin lebih banyak selekoh dan rintangan yang dilalui berbanding orang lain.
Dan untuk meletakkan setiap satu daripadanya pada satu 'turning point' yang sama adalah merepek.
Bukan soal siapa sampai dulu. Ia soal jalan yang dilalui. Pertarungan dengan diri sendiri; untuk memakai 'pakaian' apa. Untuk tinggalkan segala yang selebet dan kusut-masai, lalu menebas lalang kebodohan dan semak-samun jahiliyyah dengan penuh kesungguhan dan juga mungkin air mata.
Mari. Tuhan tidak pernah penat menunggu.
No comments:
Post a Comment