Pelbagai peristiwa.
Hari Ibu. Hari Guru. Hari ulang tahun.
Ada hari ulang tahun yang luar biasa.
Ulang tahun nakbah yang ke-63 di Palestin. Di Tebing Barat. Di seluruh wilayah di tanah yang telah diwaqafkan tetapi sehingga ke hari ini, rakyatnya terpenjara di tanah air sendiri. Sudah 63 tahun menjadi pelarian di negara sendiri.
Apalah makna sebuah rumah jika tidak dapat didiami. Hanya kunci rumah sahaja yang berada di genggaman; menjadi satu simbol bahawa semangat juang itu tidak pernah akan padam, keyakinan yang tidak pernah berbelah bahagi bahawa suatu hari nanti, pasti rumah itu akan dijejaki lagi.
…
Jika diamati kembali, banyak peristiwa besar berlaku akhir-akhir ini. Di seluruh dunia.
Pembunuhan Ben Laden, pergolakan di Timur Tengah yang masih belum reda; di Bahrin, Syria dan Libya, pertembungan antara Islam dan Kristian Koptik di Mesir, banjir di selatan Amerika Syarikat dan berbagai-bagai lagi peristiwa yang dipaparkan.
Ada sesuatu yang dapat difahami di sini.
Yang memerlukan manusia yang memegang jawatan sebagai hamba berfikir betapa kasih sayang dan rahmat Allah di dalam kehidupan seluruh manusia itu amat menyeluruh.
Di satu sudut, kita melihat ummat Islam berada dalam keadaan begitu lemah, negara-negara yang majoriti penduduknya beragama Islam kucar-kacir sistemnya, pemimpinnya tidak amanah dan seribu satu macam lagi kekurangan.
Manakala Barat terus maju dalam arus kemodenan, mempunyai sistem pengurusan yang mantap, dan berbagai-bagai lagi kelebihan yang dihidangkan.
Namun, di satu sudut yang lain, kadang-kadang kita terlupa.
Di wilayah Ayutthaya, Xinjiang, Na Trang, serta beberapa wilayah kecil lain di seluruh dunia, Islam terus subur dan mekar berkembang. Islam menjadi teras pegangan hidup dan agama yang terbaik untuk mengatur jalan kehidupan, walaupun dilingkungi oleh agama dan budaya yang jauh dari fitrah setiap insan.
Mereka terus gigih memantapkan pemahaman tentang agama yang diyakini ini, dengan harapan ianya dapat terus disebar luas dan akhirnya kalimah yang tertinggi itu dapat ditegakkan.
Dan ianya bukan mustahil.
Islam itu apabila ditekan di suatu tempat, ia akan muncul di tempat lain. Malah lebih tinggi dari sebelumnya.
Di Barat, biarpun bergerak laju dan maju, namun tenggelam spiritual dan rohani. Hanya jasad diberi kepuasan, jiwa dibiarkan kosong kelaparan.
Allah, dengan rahmatnya yang maha luas, akan sentiasa memelihara agama ini, dengan syarat ummat sentiasa berusaha dan tidak jemu untuk kembali kepada syariat Islam yang satu. Yang mengatur kehidupan, yang memberi jalan keluar kepada semua permasalahan.
Lihatlah Allah membahagi-bahagikan rahmatnya. Dan yang mengaku hamba, perlu terus berfikir dan bertindak.
Biar otak dan jiwa merusuh dengan masalah ummat.
Biar tangan dan kaki lenguh mengatur strategi.
No comments:
Post a Comment